Tuesday 4 September 2012

Penjenamaan Semula Tingkatan 6


Khamis, 05 July 2012 

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah-langkah yang akan diambil ialah memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk tingkatan enam.

"Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam,menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu, pelajar-pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat-pusat pengajian khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu atau dua kelas di sekolah-sekolah tertentu.


Langkah untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar pra universiti.

Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam adalah kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka enam adalah dalam kategori yang berbeza dan lebih matang daripada segi pemikiran, katanya.

Masyarakat, katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar tingkatan enam malah lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

Sehubungan itu pelajar-pelajar lepasan SPM harus juga melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga merupakan antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra universiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian mereka enam bulan lebih awal.

Ditanya tentang kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran di kolej matrikulasi, beliau berkata perkara itu akan dikaji oleh Kementerian Pelajaran.

2 comments:

  1. Penjenamaan semula tingkatan 6 merupakan antara isu pendidikan yang sedang diperkatakan akhir-akhir ini. Walaupun ia satu cadangan yang baik, banyak kebaikan dan keburukan yang harus difikirkan sebelum benar-benar melaksanakannya. Kajian lebih mendalam harus dilakukan agar tidak timbul isu-isu yang tidak diingini apabila pelaksanaannya dilakukan.

    Antara kebaikan yang dilihat hasil dari penjenamaan tingkatan 6 adalah dari segi peningkatan imej dan kualiti pendidikan tingkatan 6 itu sendiri yang sering dipandang rendah oleh masyarakat. Perkara ini adalah bertujuan untuk membezakan pelajar tingkatan 6 dengan pelajar sekolah menengah yang lain selain menyatukan pelajar tingkatan 6 yang bertaburan di seluruh Malaysia.

    Selain itu, penjenamaan semula ini bertujuan untuk memendekkan tempoh pengajian tingkatan 6 yang dahulu mengambil masa 2 tahun kepada setahun setengah untuk diselaraskan dengan program matrikulasi. Ia merupakan satu usaha yang baik ke arah menyelaraskan pendidikan di peringkat universiti. Namun begitu, pelaksanaannya memerlukan kajian yang mendalam memandangkan pelajar ini perlu menempuh tempoh pengajian yang pendek namun berhadapan dengan jadual yang terlalu padat. Sekiranya ia berlaku, kemungkinan besar objek tif yang ingin ditetapkan tidak mungkin dicapai oleh pelajar mahupun pihak sekolah.

    Penjenamaan ini juga bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan tingkatan 6 agar masyarakat tahu bahawa tingkatan 6 adalah dikategorikan sebagai pra universiti. Hal ini kerana masyarakat masih beranggapan bahawa tingkatan 6 adalah sama seperti sistem persekolahan dan tanggapan ini harus diubah. Tambahan pula, pelajar tingkatan 6 masih memakai uniform sekolah dan mereka hanya dibezakan dengan pelajar lain melalui warna uniform yang berbeza.

    Hasrat menempatkan pelajar tingkatan 6 di sebuah institusi yang sama berbanding menempatkan mereka di sekolah menengah juga satu usaha yang murni. Hal ini akan membantu memartabatkan pendidikan tingkatan 6. Namun begitu, kos yang tinggi diperlukan untuk membina sebuah institusi yang baru dan memerlukan kajian yang mendalam untuk memilih lokasi yang sesuai. Sekiranya mempunyai sebuah institusi sendiri, sistem pembelajaran juga harus diubah agar lebih bersesuaian dengan situasi semasa.

    Tingkatan 6 sering disamakan dengan program matrikulasi dan sekiranya mereka ditempatkan di sebuah institusi yang berasingan dengan sekolah, masyarakat harus diberi pendedahan mengenai perbezaan tingkatan 6 dengan matrikulasi. Selain itu, adakah pelajar ini masih layak dipanggil pelajar tingkatan 6 sedangkan mereka tidak berada di sekolah? wajarkah nama tingkatan 6 dihapuskan dan diganti dengan 1 nama yang baru yang lebih sesuai dengan pelajar-pelajar ini?

    ReplyDelete
  2. Usaha untuk menaiktarafkan ting 6 adalah usaha yg baik...Namun, sekiranya penubuhan institusi baru, dengan 'environment' yang baru, kurikulum yg bru dan sebagainya....ini akan menghapuskan sama sekali identiti ting 6. baiklah sekiranya institusi baru itu diberi nama "Pengajian Tinggi" saja.

    ReplyDelete

fullmusic